JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek Kes Tikam Penuntut Kolej 61 Kali Ditahan - Polis

02/05/2026 07:52 AM

KOTA BHARU, 2 Mei (Bernama) -- Dua suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang wanita berusia 19 tahun dengan 61 kesan tikaman berhampiran kawasan sawah di Kampung Simah, Ketereh, di sini, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi Bernama malam tadi mengesahkan penahanan berkenaan.

“Polis sudah dapat suspek utama,” katanya ringkas.

Bernama dimaklumkan bahawa perincian lanjut mengenai tangkapan itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Mohd Yusoff dalam kenyataan memaklumkan mayat seorang wanita yang merupakan penuntut sebuah kolej ditemukan dengan 61 kesan tikaman di atas jalan berhampiran kawasan sawah Kampung Simah, Ketereh.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan terbabit dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551904