DUNIA

Ahli Astronomi Jepun Lancar Kumpulan Jejaki Makhluk Asing

03/05/2026 03:56 PM

KOBE, 3 Mei (Bernama-Kyodo) -- Ahli astronomi di Jepun baru-baru ini melancarkan apa yang disifatkan mereka sebagai organisasi pertama negara itu yang didedikasikan untuk menjejaki kehidupan makhluk asing, dengan pemantauan gelombang radio dirancang pada musim panas tahun depan, lapor Kyodo News.

"Ia mesti wujud di suatu tempat di alam semesta. Saya teruja untuk melaksanakan (kajian)," kata Shinya Narusawa, pakar astrofizik di Universiti Hyogo dan Ketua Persatuan Jepun untuk SETI atau pencarian kecerdasan luar bumi (search for extraterrestrial intelligence).

Narusawa, pakar terkemuka dalam bidang SETI berusia 61 tahun, merupakan tulang belakang inisiatif itu yang mengumpulkan kira-kira 10 orang terdiri daripada ahli astronomi dan penyelidik balai cerap untuk membentuk kumpulan berkenaan.

Kumpulan itu merancang untuk menjalankan pemerhatian pada Ogos tahun depan ke arah buruj Pemanah (Sagittarius) di Balai Cerap Misato di Wilayah Wakayama, barat Jepun, sempena 50 tahun sejak isyarat radio kuat yang dipercayai datang dari angkasa dikesan oleh teleskop Universiti Ohio State di Amerika Syarikat (AS) pada 1977.

Digelar "Wow! Signal", ia berasal dari berhampiran buruj Pemanah dan antara transmisi radio makhluk asing terkuat yang pernah dikesan.

Isyarat itu terus dikaji di AS sebagai petunjuk pada kemungkinan adanya kecerdasan luar bumi, namun masih menjadi misteri.

"Kami akan menyeru dunia untuk menjalankan pemerhatian tertumpu ke arah sumber gelombang radio," kata kumpulan itu yang dilancarkan pada April di laman webnya.

Pada masa hadapan, kumpulan tersebut menyasarkan untuk membina rangkaian antena domestik bagi membolehkan pemerhatian berterusan, dengan harapan pemantauan berterusan akan meningkatkan kebolehpercayaan carian.

"Kami akhirnya mahu membina rangkaian penyelidikan di Jepun setanding dengan di AS," kata Narusawa.

"Saya berharap orang ramai mengetahui tentang usaha kita untuk mencari tamadun luar bumi, dan ia juga boleh mendorong kita untuk memikirkan semula mengenai bumi, di mana peperangan sesama manusia berterusan."

-- BERNAMA-KYODO

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2552301