DUNIA

Laluan Laut Hormuz Ditutup, Iran Ikrar Ambil Tindakan Jika AS Terus Maju

30/04/2026 02:08 PM

ISTANBUL, 30 April (Bernama-Anadolu) -- Iran telah menutup Selat Hormuz dari sebelah Laut Arab dan akan mengambil "tindakan pantas" jika tentera Amerika Syarikat (AS) bergerak ke hadapan (melanggar sekatan), kata komander tentera laut Iran Shahram Irani lewat Rabu, lapor Anadolu Ajansi.

“Musuh berpendapat bahawa dalam masa yang sesingkat mungkin, seperti tiga hari hingga satu minggu, ia boleh mencapai kesimpulan dalam perang menentang Iran, dan andaian mereka ini telah menjadi bahan jenaka di universiti tentera,” kata Irani dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh penyiar kerajaan IRIB.

“Kami bersatu hingga ke titisan darah terakhir untuk membalas dendam terhadap para syuhada kami,” tambahnya.

Permusuhan di rantau itu meningkat selepas AS dan Israel memulakan serangan ke atas Iran pada 28 Feb, mendorong tindakan balas Tehran terhadap sekutu AS di Teluk dan penutupan Selat Hormuz.

Gencatan senjata diumumkan pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, diikuti perbincangan di Islamabad pada 11–12 April, namun tiada persetujuan dicapai.

Presiden AS Donald Trump kemudian berkata gencatan senjata dilanjutkan atas permintaan Pakistan, sementara menunggu cadangan daripada Tehran.

Usaha berterusan kini dilakukan untuk mengatur satu lagi pusingan rundingan.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551254