EKONOMI

Harga Minyak Terus Melonjak Susulan Jangkaan Sekatan Berpanjangan Di Selat Hormuz

30/04/2026 03:07 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Paras harga minyak melonjak lebih US$120 setong pada Khamis selepas Presiden Donald Trump memberi amaran kepada Iran bahawa sekatan tentera laut Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz mungkin berlanjutan sehingga beberapa bulan.

Setakat tengah hari ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, meningkat 5.93 peratus kepada US$125 setong manakala West Texas Intermediate naik 2.31 peratus kepada US$109.30 setong.

Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah kebuntuan usaha diplomatik untuk memulihkan akses ke atas Selat Hormuz serta peningkatan kehadiran armada ketenteraan AS di rantau berkenaan.

Penganalisis yang juga Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran minyak kini menyaksikan dagangan dalam keadaan stok simpanan yang semakin mengecil.

“Stok ini sememangnya sudah rendah dan kapasiti lebihan pula terhad berikutan sekatan ke atas Selat Hormuz. Oleh itu, kebimbangan sebenar kita adalah sebarang peningkatan ketegangan membabitkan Iran akan hanya mencetuskan dorongan bagi melonjakkan harga sedia ada.

“Atas alasan itu, Brent akan meningkat secara mendadak. Jika ketegangan terus ada, lonjakan harga ke arah paras US$130 hingga US$150 setong tidak mustahil berlaku apabila senario terburuk menyaksikan harga pasaran diasak tekanan gangguan bekalan dan bukan setakat (membabitkan) aliran semasa,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Innes berkata pada paras sedemikian, permintaan akan mula susut dan mengehadkan aliran kenaikan harga.

 “Oleh itu, keadaan akan beralih daripada kekangan bekalan kepada impak ekonomi secara meluas susulan peningkatan harga berkenaan. Ringkasnya, pasaran akan dipacu oleh keadaan goyah apabila menyedari bahawa stok simpanan semakin menyusut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551305