IPOH, 30 April(Bernama) -- Kerajaan negeri sedang melaksanakan kajian menyeluruh berkaitan kos sara hidup di Perak susulan impak konflik di Asia Barat bagi menilai kesan sebenar terhadap rakyat serta merangka langkah intervensi yang bersesuaian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata kajian itu melibatkan pengumpulan data secara menyeluruh merentas pelbagai aspek bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai impak yang berlaku.
“Kajian di bawah portfolio saya ini masih pada peringkat awal bagi sektor sosial, manakala dapatan awal bagi keusahawanan telah mula diperoleh. Ini penting bagi mengenal pasti golongan yang terjejas disebabkan konflik itu.
“Dapatan dijangka diperoleh dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dengan penilaian lebih menyeluruh dapat dilihat bermula pertengahan tahun ini,” katanya selepas merasmikan Program Warga Emas Fit (WE FIT) Dewan Undangan Kepayang 2026 di Dewan Greentown, Flat Ashby Road, di sini hari ini.
Beliau berkata dapatan melalui kajian berkenaan akan dibawa ke pengetahuan dua jawatankuasa khas bagi menangani isu berkenaan, melibatkan Jawatankuasa Khas Impak Krisis dan Jawatankuasa Pemantauan Impak Krisis.
Hasil kajian itu kelak akan dibawa kepada kedua-dua jawatankuasa berkenaan dan dilihat bakal membantu kerajaan negeri untuk menilai serta mewujudkan inisiatif yang bersesuaian membantu golongan terkesan lebih-lebih lagi golongan berpendapatan rendah.
Kajian yang dilakukan melalui Sekretariat Pembangunan Wanita (SWP) Perak dengan Institut Darul Ridzuan itu, menilai tiga perkara utama membabitkan kesan kenaikan harga minyak, impak ketidaktentuan ekonomi global dan beban kos hidup yang ditanggung isi rumah di Perak.
-- BERNAMA