AM

RMHC Perluas Program Terapi Sensori Untuk Kanak-kanak Khas

30/04/2026 09:16 AM

SEREMBAN, 30 April (Bernama) -- Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperkukuh kerjasama strategik menerusi inisiatif Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald bagi kanak-kanak berkeperluan khas di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, di sini.

Pengurus Besar RMHC Malaysia Mohd Nasri Mohd Nordin berkata inisiatif bersempena Bulan Kesedaran Autisme itu bertujuan memperluas akses kepada kemudahan terapi yang lebih lengkap bagi menyokong intervensi awal serta perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas secara lebih berkesan.

Beliau berkata penyediaan kemudahan yang sesuai dan tersusun adalah penting bagi menyokong perkembangan kanak-kanak berkeperluan khas selain mewujudkan persekitaran terapi yang selamat, kondusif dan konsisten.

“Dengan sokongan fasiliti serta latihan berkala kepada terapis sebanyak tiga kali setahun, kami percaya ia dapat memberi impak lebih menyeluruh kepada perkembangan anak-anak serta kualiti hidup keluarga mereka.

“RMHC Malaysia akan terus komited menyokong usaha JKM serta memperluaskan peranannya sebagai rakan komuniti dalam menyediakan sokongan berterusan kepada golongan yang memerlukan,” katanya kepada pemberita pada Program Penyerahan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald kepada Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, di sini.

Mohd Nasri berkata kerjasama itu turut merangkumi usaha menaik taraf bilik terapi sensori sedia ada kepada fasiliti berskala penuh yang lebih menyeluruh.

Katanya ruang berkenaan dilengkapi peralatan integrasi sensori mengikut standard Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald melalui sumbangan komuniti berjumlah RM50,000 oleh RMHC Malaysia bersama rakan korporat yang menyokong usaha tersebut.

“Penyerahan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald ke-37 di seluruh negara ini mencerminkan komitmen berterusan RMHC Malaysia dalam memperluaskan akses kepada kemudahan terapi untuk lebih 4,500 kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya.

Beliau berkata RMHC Malaysia akan terus memperluas kerjasama strategik bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada intervensi yang konsisten dan berkualiti.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKM Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta perlu terus diperkukuhkan bagi meningkatkan akses kepada sokongan berkualiti untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Beliau berkata penglibatan rakan pelaksana seperti RMHC Malaysia bukan sahaja membantu pembangunan fasiliti, malah meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan terapi sensori.

“Usaha ini memastikan setiap pusat bukan sahaja dilengkapi kemudahan mencukupi, tetapi turut memenuhi standard operasi termasuk sokongan terapis cara kerja bertauliah serta pelaksanaan terapi yang berkesan dan berterusan,” katanya.

Penyerahan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald itu merupakan yang ketiga di fasiliti di bawah pengelolaan JKM termasuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).

Bilik terapi pertama dibina di Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu, Terengganu pada 2010, manakala dua lagi dilaksanakan menerusi inisiatif RMHC yang menaik taraf 11 bilik terapi sensori sedia ada di fasiliti JKM di seluruh negara bermula tahun lalu.

Usaha berterusan ini mencerminkan kepercayaan RMHC Malaysia bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang yang sama untuk berkembang, disokong penjagaan terapi yang inklusif dan berkesan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551116