KUCHING, 1 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Stutong awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 5.43 pagi.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa berusia 56 tahun yang sedang mengayuh basikal telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang jenis serta nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada 6.30 pagi oleh penolong pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak,” katanya.
Beliau berkata pihak polis kini giat mengesan suspek yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Russell Stetson Junner di talian 013-857 8601 atau 082-259900 atau balai polis berhampiran.
-- BERNAMA