AM

Melaka Mohon Pembinaan Hospital Baharu Atasi Kesesakan

29/04/2026 06:45 PM

MELAKA, 29 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka akan memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan hospital baharu dalam usaha mengatasi kesesakan pesakit dan kekurangan tempat letak kenderaan di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Rakyat kita bertambah dan keperluan kesihatan juga bertambah. Saya sendiri melawat (Hospital Melaka) semalam dan memang terdapat keperluan bagi Melaka sebuah hospital baharu.

“Hospital ini dibina sejak 90 tahun lepas dan tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Berhubung keluhan orang ramai terhadap caj tempat letak kenderaan di hospital itu, Ab Rauf berkata Kementerian Kesihatan telah bekerjasama dengan pihak swasta membina parkir bertingkat bagi menambah jumlah petak untuk kegunaan pesakit dan pengunjung.

“Tempat letak kenderaan bertingkat ini bukan duit kerajaan, tetapi dibuat oleh syarikat swasta dan pastinya ada caj untuk mengembalikan semula pelaburan dibuat syarikat tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2550978