JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Siasat Video Tular Aksi Berbahaya Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi 

24/04/2026 11:46 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi ditahan polis selepas dipercayai melakukan aksi berbahaya di Jambatan Putra, Putrajaya yang tular dalam media sosial semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya mengesan satu hantaran tular di media sosial yang memaparkan dua motosikal berkuasa tinggi dipercayai ditunggang secara berbahaya.

Beliau berkata menerusi siasatan awal yang dijalankan pihaknya telah mengenal pasti seorang daripada penunggang motosikal berkenaan.

Lelaki berusia 31 tahun itu kemudian tampil di Balai Trafik IPD Putrajaya bagi membantu siasatan dan mengaku pemilik motosikal terbabit serta mengesahkan kejadian berkenaan berlaku pada 12.30 tengah malam pada 19 April lepas.

“Siasatan awal turut mendapati kumpulan tersebut berada di lokasi berkenaan untuk menghasilkan kandungan media sosial dan bukan tujuan perlumbaan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti tujuan sebenar. Difahamkan, ini kali pertama kumpulan berkenaan berkumpul di lokasi tersebut yang terletak berhampiran Masjid Putra,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata pihaknya turut menahan seorang lagi penunggang motosikal berusia 33 tahun serta menyita dua motosikal berkuasa tinggi, yang terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata keterangan daripada dua lelaki terbabit telah diambil, dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

“Pihaknya juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam rakaman video berkenaan,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549098