AM

Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Kanan MACA: Amanah Diteruskan

29/04/2026 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Mohd Hafaz Nazar yang dilantik menerajui bahagian itu berkuat kuasa 17 April lalu menyifatkan pengalaman berkhidmat di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai satu perjalanan yang bermakna.

Beliau yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Kanan MACA pada Februari 2025 melahirkan rasa syukur atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat di MACA kerana banyak memberi nilai tambah kepada diri dan kerjayanya di Suruhanjaya ini.

“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengurusan Tertinggi SPRM atas kepercayaan, bimbingan, nasihat dan teguran yang diberikan sepanjang berkhidmat sebagai Pengarah Kanan MACA,” katanya dalam Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Kanan MACA di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, turut diadakan Upacara Penyerahan Nota Serah Tugas kepada Pengarah Kanan MACA yang baharu, Datuk P/Pj Karunanithy  Y. Subbiah yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi.

Turut hadir Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan SPRM, Tuan Mohammad Shahizan Abdullah; Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, KPKPj Zuhairie Abu Bakar; Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM, KPKPj Syed Mohd Termizi Syed Musa serta wakil Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM, Ps Syed Faizal Syed Abidin. 

--BERNAMA
 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2551078