Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS (Denmark), 29 April (Bernama) -- Bagi pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia, kemenangan 21-13, 21-19 ke atas pemain Jepun, Koki Watanabe dalam perlawanan terakhir Kumpulan B saingan Piala Thomas 2026 di sini hari ini bukan sekadar kemenangan sagu hati.
Zii Jia berkata keputusan itu hadir sebagai satu kenyataan bahawa keyakinannya kembali pada saat tepat, meskipun Malaysia tewas 2-3 kepada juara 2014 itu dan menamatkan saingan selaku naib juara kumpulan.
Selepas melalui tempoh sukar akibat kecederaan sejak 2024, pemain ranking ke-82 dunia itu mengakui lega akhirnya berjaya mencatat kemenangan ke atas pemain ranking 20 terbaik dunia, sekali gus memberi suntikan semangat menjelang aksi kalah mati Piala Thomas.
“Ini antara perlawanan terbaik saya kebelakangan ini. Saya rasa masa ini sangat tepat dan memberi saya lebih keyakinan, lebih-lebih lagi apabila tiada lagi kecederaan. Saya sangat menghargainya.
“Setakat ini, apa yang saya lakukan nampak berada di landasan betul termasuk dari segi momentum dan keyakinan yang semakin baik,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan di Forum Horsens di sini hari ini.
Kali terakhir Zii Jia menewaskan pemain ranking 20 terbaik dunia adalah ketika menundukkan pemain Denmark, Anders Antonsen yang ketika itu berada di ranking ketiga dunia 21-14, 21-19 pada Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China.
Pemain berusia 28 tahun itu bergelut dengan kecederaan sejak mengalami masalah buku lali pada Jelajah Dunia Akhir 2024 sebelum kembali beraksi di Orleans Masters dan All England 2025.
Bagaimanapun, kecederaan tersebut terus menghantui beliau sebelum terpaksa berehat sekali lagi dan kembali beraksi pada Kejohanan Dunia di Paris pada Ogos lepas.
Pada September lepas, beliau menyertai Terbuka Hong Kong sebelum menarik diri pada pusingan pertama Terbuka China akibat kecederaan belakang.
Zii Jia kemudian mengambil keputusan untuk berehat sepenuhnya bagi pemulihan sebelum kembali beraksi pada Terbuka Malaysia 2026 pada Januari lepas.
Sementara itu, pemain beregu lelaki negara Soh Wooi Yik mengakui terlalu banyak kesilapan mudah menjadi punca kekalahan ketika bergandingan bersama profesional Nur Izzuddin Rumsani, sekali gus gagal membawa perlawanan ke aksi penentuan.
“Kami sudah beri yang terbaik, tetapi tidak cukup sabar untuk menamatkan perlawanan dan itu menjadi punca kekalahan hari ini. Namun, ia pengalaman yang baik dapat bergandingan semula dengan Nur Izzuddin,” katanya.
Gandingan Wooi Yik–Nur Izzuddin yang kembali digandingkan selepas pernah berpasangan singkat di Chengdu 2024, mensia-siakan kelebihan set pertama sebelum tewas 21-14, 19-21, 19-21 kepada pasangan Jepun ranking ke-30 dunia Takumi Nomura-Yuichi Shimogami.
Keputusan itu bukan sahaja mengesahkan kemaraan Jepun ke suku akhir selaku juara Kumpulan B, malah turut membalas dendam kekalahan kepada Malaysia pada dua edisi terdahulu di Bangkok 2022 dan Chengdu 2024.
Malaysia sebelum itu menewaskan England 3-2 dan Finland 4-1 untuk melangkah ke peringkat suku akhir.
Undian peringkat kalah mati akan berlangsung esok pagi, dengan saingan Piala Thomas 2026 dijadual berakhir pada 3 Mei.
-- BERNAMA