AM

SMC Bandar Sunway Dinobat Hospital Terbaik Malaysia Untuk Tahun Kelima Berturut-turut

02/04/2026 11:02 AM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) hospital kuaternari swasta terbesar Malaysia dinobatkan sebagai Hospital Terbaik - Malaysia pada majlis berprestij Healthcare Asia Awards 2026, menandakan kemenangan kelima berturut-turut hospital dalam kategori itu.

SMC juga menerima anugerah Inisiatif Hospital Pintar Terbaik - Malaysia sebagai pengiktirafan kepada usaha penerapan teknologi digital hospital dalam mempertingkatkan kecekapan operasi dan kepuasan pesakit secara keseluruhan.

Dalam kenyataan, SMC berkata pengiktirafan berterusan itu mencerminkan keupayaan mereka dalam  memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan melalui kecemerlangan klinikal, inovasi dan penjagaan berpusatkan pesakit.

“Disokong oleh lebih 300 pakar perunding tetap merangkumi 80 kepakaran perubatan dan 28 Pusat Kecemerlangan, SMC terus menetapkan penanda aras dalam penyampaian rawatan holistik dan multidisiplin. Hospital turut menitikberatkan keperluan setiap pesakit dengan menyediakan pelan rawatan yang disesuaikan secara individu,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan hospital dalam mempertingkatkan penyampaian penjagaan kesihatan melalui kepakaran perubatan dan inovasi.

“Pengiktirafan Hospital Terbaik untuk kali kelima berturut-turut serta pengiktirafan Inisiatif Hospital Pintar ialah bukti kukuh kepada visi kami di SMC. Ia mencerminkan komitmen berterusan kami untuk mempertingkatkan penjagaan kesihatan melalui kecemerlangan klinikal serta inovasi dan paling utama, hasil pemulihan pesakit yang lebih baik.

“Kami akan terus memacu integrasi penyelesaian digital terkini bagi mempertingkatkan penyampaian penjagaan dan kepuasan pesakit sekali gus memastikan setiap pesakit menerima penjagaan kesihatan bertaraf dunia pada setiap interaksi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara kemajuan utama SMC termasuk pengenalan Sistem CT Pengiraan Foton Pertama di Malaysia pada 2025, iaitu teknologi generasi baharu yang meningkatkan standard pengimejan perubatan dengan resolusi ultra tinggi merentasi pelbagai fungsi klinikal.

Baru-baru ini, SMC juga mencatatkan pencapaian dalam program pembedahan tulang belakang robotik melalui penggunaan Suite Pembedahan Robotik Tulang Belakang AiBLE™.

“Teknologi itu menyediakan panduan robotik untuk prosedur tulang belakang serta menyokong pembedahan invasif minimum di Malaysia dan rantau Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu.

SMC memaklumkan penganugerahan tersebut menambah senarai pengiktirafan antarabangsa yang diterima. Hospital itu turut diiktiraf sebagai Hospital Terbaik di Malaysia serta tersenarai dalam kelompok 250 hospital terbaik dunia dalam Anugerah Hospital Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek.

SMC juga menduduki tempat pertama di Asia bagi pembedahan katarak dalam Hospital dan Klinik Swasta Terbaik Asia 2026 oleh Newsweek, selain turut mencatat kedudukan tertinggi dalam beberapa bidang oftalmologi dan ortopedik.

Sebagai hospital utama di bawah Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, SMC terus memperkukuh dan memperluas keupayaannya.

Hospital itu memaklumkan, setelah siap blok keenam, Menara F (Pavilion Kanak-Kanak) menjelang suku ketiga tahun ini, kapasiti hospital akan berkembang melebihi 1,000 katil.

“Perkembangan ini akan disokong oleh pasukan multidisiplin yang komited terhadap penyampaian rawatan diperibadikan dan menyeluruh,” menurut kenyataan itu. 

SMC juga hospital pertama di Malaysia yang mendapat tiga akreditasi utama hospital, iaitu Akreditasi Gold Seal of Approval daripada Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia Antarabangsa (ACHSI) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).

Healthcare Asia Awards ialah program tahunan yang mengiktiraf hospital, klinik dan organisasi penjagaan kesihatan cemerlang di Asia dengan penekanan kepada institusi yang menunjukkan inovasi unggul serta menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan kesihatan dan memberi sumbangan signifikan kepada komuniti.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2540080