Walaupun pengsan sering dikaitkan dengan tekanan, dehidrasi atau berdiri lama, beberapa episod mungkin disebabkan oleh sinkop jantung, iaitu keadaan serius yang disebabkan oleh penurunan aliran darah secara tiba-tiba dari jantung ke otak.
Pakar Perunding Kardiologi, Pakar Elektrofisiologi dan Pakar Perubatan Dalaman dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Lim Chiao Wen berkongsi bahawa orang ramai perlu mendapatkan rawatan dengan segera jika pengsan disertai dengan simptom lain seperti sakit dada, berdebar-debar, sesak nafas, berlaku semasa bersenam atau semasa berbaring, atau diikuti dengan kekeliruan yang berpanjangan atau kecederaan serius kerana ia mungkin disebabkan oleh masalah jantung.
Pakar Perunding Perubatan Kecemasan SMCV, Dr Cyrus Lai Sin Nan berkongsi bahawa walaupun pengsan atau sinkop menyumbang kepada kira-kira satu hingga tiga peratus daripada kes kunjungan ke jabatan kecemasan, sinkop berkaitan jantung adalah jauh lebih berbahaya kerana ia mungkin berkait dengan aritmia yang serius, kemerosotan kesihatan mendadak dan juga kematian.