JERTIH, 26 April (Bernama) -- Semangat wanita warga emas berusia 71 tahun dari Kampung Tok Has di sini yang masih kuat melakukan pelbagai pekerjaan wajar dijadikan inspirasi kepada masyarakat, khususnya golongan muda.
Jawiah Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Mok Teh Semek berkata tiada istilah rehat dalam hidupnya kerana sudah terbiasa melakukan pekerjaan iaitu mengusahakan padi, menoreh getah, menanam sayur dan menjadi tukang urut sejak muda sehingga hari ini.
Nenek kepada 45 cucu dan moyang kepada enam cicit itu juga berkata bekerja kuat setiap hari kerana ingin kekal sihat dan bertenaga meskipun pada usia tua.
"Saya mula melakukan semua pekerjaan itu selepas suami pertama meninggal dunia ketika saya berusia 45 tahun. Ketika itu, saya perlu bekerja kuat untuk menyara 12 anak.
“Lama-kelamaan saya minat dan terbiasa tidak boleh duduk diam. Saya rasa seperti demam dan sakit-sakit badan jika tidak bekerja,” katanya.
Jawiah berkata anaknya risau dan menasihatkan supaya berhenti bekerja kerana dia dan suami Noh Ismail, 89, boleh meneruskan hidup dengan bantuan anak setiap bulan, namun dirinya enggan berbuat demikian selagi sihat dan kuat.
“Kalau ikutkan boleh sahaja jika saya tidak bekerja. Namun saya tidak mahu terlalu bergantung kepada anak kerana faham mereka juga ada komitmen sendiri,” katanya.
Wanita itu berkata hampir semua pekerjaan dilakukan seorang diri termasuk mengusahakan sawah padi seluas dua hektar dan menoreh getah 1.4 hektar.
“Cuma sejak dua tahun lepas saya mengupah orang meracun serangga dan kulat padi kerana mereka menggunakan dron. Lebih cepat dan jimat berbanding saya lakukan sendiri menggunakan kaedah lama,” katanya.
Wanita itu juga pandai membahagikan masa untuk menguruskan rumah dan suami yang mengalami pelbagai masalah kesihatan.
“Kebiasaannya saya keluar menoreh getah dari pagi hingga hampir tengah hari sebelum ke sawah dan kebun sayur selepas asar. Mengurut pula dilakukan selepas zohor atau malam jika ada pelanggan,” katanya.
Jawiah berkata tidak menghidap sebarang penyakit dan menambah dia menggemari menu ikan singgang yang sihat kerana hanya direbus selain pelbagai ulam sejak kecil.
“Kesihatan saya ini anugerah Allah yang saya syukuri setiap masa,” katanya.
-- BERNAMA