KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan penambahbaikan jadual perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang bagi laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang.
KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan penambahbaikan itu akan berkuat kuasa bermula esok (27 April) bagi jadual waktu hari bekerja serta 1 Mei bagi jadual waktu cuti umum dan hujung minggu.
Menurut KTMB, penambahbaikan dilaksanakan susulan penilaian semula terhadap pelaksanaan jadual baharu yang diperkenalkan pada 18 April lepas, sejajar dengan kerja-kerja projek naik taraf Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).
“Jadual yang dikemas kini ini dirangka dengan mengambil kira pola perjalanan penumpang, khususnya pada waktu puncak agar lebih praktikal dan mesra pengguna dalam membantu perancangan perjalanan harian mereka sepanjang tempoh pelaksanaan projek KVDT2, yang melibatkan penutupan satu landasan di antara Seremban hingga Salak Selatan sepanjang 67 kilometer (km) bagi membolehkan kerja-kerja infrastruktur dilaksanakan dengan selamat dan efisien,” menurut kenyataan itu.
KTMB memaklumkan sepanjang tempoh itu, operasi tren di laluan terlibat dijalankan menggunakan landasan tunggal yang perlu dikongsi bersama antara perkhidmatan Komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS).
“Penutupan penuh landasan pada waktu malam bagi kerja-kerja naik taraf bermula 9.30 malam hingga 5.30 pagi turut menyebabkan beberapa pergerakan tren ETS dijadualkan semula ke waktu petang bagi memastikan kesinambungan kedua-dua perkhidmatan dapat dikekalkan secara teratur,” menurut kenyataan itu.
KTMB memaklumkan penambahbaikan hanya melibatkan pelarasan waktu operasi tren dengan mengekalkan lima perkhidmatan hari bekerja sedia ada pada waktu puncak, pagi dan petang.
Pengguna disarankan merancang perjalanan lebih awal dan menyemak jadual terkini melalui MyRailtime di aplikasi KITS Style serta mengikuti pengumuman di stesen atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 untuk sebarang pertanyaan.
-- BERNAMA