AM

Impian Bertemu Ibu Untuk Mohon Restu Sambung Pengajian Termakbul

26/04/2026 08:48 PM

KULIM, 26 April (Bernama) -- Penantian sekian lama seorang remaja lelaki untuk bertemu ibu kandungnya berakhir apabila mereka dipertemukan dalam suasana penuh emosi di Kampung Padang Limau, Karangan, di sini hari ini.

Muhammad Sihat Abu Bakar, 18, tidak dapat menahan sebak sebaik menatap wajah ibunya, Siti Maryah Ahmad, 51, buat kali pertama sejak mereka terpisah ketika dia berusia dua tahun.

Anak bongsu daripada lima beradik itu pada awalnya dipelihara oleh nenek sebelah bapanya di Sungai Petani, sebelum wanita itu meninggal dunia ketika dia berusia enam tahun, dan penjagaan kemudian beralih kepada bapa dan ibu tiri yang menetap di Pekan, Pahang.

"Namun, perjalanan hidup saya tidak pernah mudah. Demi masa depan, ketika bersiap menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas, saya ambil keputusan keluar rumah dan memulakan kehidupan sendiri demi memberikan fokus kepada pelajaran," katanya kepada Bernama.

Remaja itu berkata dia bersyukur kerana menerima bantuan daripada guru-guru di sekolahnya yang terletak di Pekan, Pahang serta badan bukan kerajaan (NGO), dan berjaya menduduki SPM pada tahun lepas.

Muhammad Sihat berkata bagi menampung keperluan, dia bekerja sambilan setiap kali cuti sekolah dan hasrat mencari ibunya tidak pernah padam, khususnya demi mendapatkan restu untuk melanjutkan pelajaran, selain turut memerlukan beberapa dokumen daripada ibunya bagi tujuan berkenaan.

Dalam pada itu, Siti Maryah berkata dia amat bahagia dan gembira kembali dipertemukan dengan anaknya yang tidak pernah mengenalinya sebelum ini.

"Dulu saya tak tahu nak cari dia (Muhammad Sihat) kat mana. Anak saya semua lima orang, tapi seorang dah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, wakil daripada Youth Empowerment Foundation (YEF) Suhaila Che Ismail berkata 'jejak kasih' antara Muhammad Sihat hari ini dijayakan dengan bantuan pelbagai pihak terutama daripada Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia Datuk Rosni Zahari dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Padang Serai Datuk Marlia Abd Latiff, serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman SAC Datuk Mohamad Farouk Eshak.

 Beliau berkata Muhammad Sihat telah terpilih untuk mengikuti YEF MSIA Intervention Program 2026 yang dianjurkan oleh YEF, iaitu program persediaan sebelum melangkah ke menara gading.

"Muhammad Sihat menyimpan impian untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pilihannya, iaitu Sains Sukan. Kami berharap cita-cita Muhammad Sihat untuk menjadi seorang pensyarah pada suatu masa nanti tercapai,” katanya.

Suhaila berkata YEF MSIA Intervention Program 2026 ialah satu inisiatif bagi membantu memperkasakan para belia melalui pembangunan peribadi, pengukuhan sahsiah dan latihan kemahiran.

"Pihak kami juga berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam misi pencarian ibu kandung Muhammad Sihat, dan dalam usaha membantu menjayakan anak muda ini.

“Semoga anak ini menjadi contoh tauladan remaja B40 yang berhempas pulas berdikari berjuang demi mengejar kejayaan dunia akhirat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549695