AM

Keluarga Muhammad Syukri Harap Organ Diderma Beri Sinar Baharu Kepada Insan Lain

26/04/2026 08:30 PM

KUALA TERENGGANU, 26 April (Bernama) -- Keluarga kepada Allahyarham Muhammad Syukri Bazli berharap keputusan untuk mendermakan organ milik arwah mampu memberi sinar baharu dalam kehidupan insan lain.

Bapa saudara Muhammad Syukri, Azlan Yahya, 58, berkata keputusan dibuat awal pagi tadi dengan persetujuan bapa, ibu serta isteri arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli, 32 tahun.

Azlan berkata pendermaan itu dianggap sebagai sumbangan atau amal bakti terakhir Muhammad Syukri, 31, yang dikenali sebagai insan yang penyayang, sabar dan sentiasa membantu orang ditimpa kesusahan.

"Keputusan menderma organ dibuat memandangkan arwah masih muda dan ada keperluan untuk menyelamatkan nyawa insan lain.

"Arwah sebelum ini tidak pernah sebut untuk menderma organ tetapi mengenali karakter dan sifatnya yang sentiasa rela membantu dan berkhidmat untuk orang lain, keluarga merasakan keputusan ini adalah tepat serta boleh memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azlan berkata Muhammad Syukri yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Kuala Berang dekat Hulu Terengganu meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini kira-kira 12.06 tengah malam tadi, sebelum dibawa ke bilik bedah untuk penuaian organ kira-kira 5 pagi.

Beliau berkata menurut pihak hospital, organ yang diambil untuk didermakan termasuk buah pinggang, hati, tulang dan kulit untuk pesakit yang melecur teruk atau menjalani pembedahan rekonstruktif.

Jenazah bapa kepada tiga anak berusia antara setahun hingga enam tahun itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Peroh, Hulu Terengganu selepas isyak ini.

"Kami semua pasti merindui kehadiran arwah terutama pada majlis seperti kenduri dan berkumpul sanak saudara kerana dia sangat ringan tulang dan sungguh mesra," katanya yang tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada warga HSNZ atas layanan baik serta kecekapan kerja.

Hari ini tular menerusi media sosial apabila warga HSNZ memberikan penghormatan Walk of Honour kepada Allahyarham Muhammad Syukri yang mendermakan organ untuk pesakit lain.

Bahagian Jabatan Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui laman sosial Facebook turut memuat naik hantaran penghargaan terima kasih kepada penderma, keluarga penderma dan semua petugas kesihatan yang terlibat dalam menjayakan kerja-kerja pemindahan organ berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549693