Oleh Erma Idayu Mohd Yusof
BUKIT MERTAJAM, 26 April (Bernama) -- Pendekatan pengajaran yang lebih interaktif melalui program e-Tuisyen Rakyat di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini menjadi pemangkin kejayaan pelajar meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu terbukti dapat membantu pelajar yang lemah dalam matapelajaran meningkatkan prestasi akademik mereka khususnya dalam subjek teras.
Bagi Muhammad Syawal Rozlan, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti, kejayaan memperoleh 7A dalam SPM menjadi titik perubahan besar selepas menyertai e-tuisyen di NADI Taman Machang Bubok bermula Disember 2024.
Anak bongsu daripada lima beradik yang menetap di Tanah Liat itu mengakui sebelum ini sering bergelut dengan subjek Matematik dan Sains, malah pernah gagal dalam beberapa peperiksaan.
“Sebelum ini, Matematik dan Sains agak lemah, pernah gagal dalam peperiksaan beberapa kali tetapi selepas sertai tuisyen di NADI, keputusan saya semakin meningkat iaitu kepada 4A dan akhirnya 7A dalam SPM, Alhamdulillah.
"Seronok tuisyen di NADI kerana mempunyai kemudahan lengkap termasuk peranti, capaian internet yang stabil dan pendekatan pengajaran interaktif oleh cikgu, walaupun secara dalam talian tapi kami tetap boleh bertanya apa sahaja yang kami tidak faham dalam kelas itu," katanya ketika ditemui Bernama di NADI Kubang Semang, di sini.
Muhammad Syawal berjaya memperoleh A dalam tujuh subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam, Sains serta Pendawaian Domestik, dan bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik.
Seorang lagi pelajar cemerlang, Aishah Mirza Sofeah Mohamad Shaharudin, 18, bekas pelajar SMK Tasek Gelugor yang pada mulanya lemah dalam beberapa subjek teras, telah menunjukkan peningkatan ketara selepas mengikuti e-tuisyen di NADI Tasek Gelugor sejak Disember 2024
Mengikuti kelas empat kali seminggu termasuk hujung minggu, Aishah menyifatkan pendekatan pengajaran yang lebih santai dan interaktif membantu meningkatkan kefahaman, khususnya dalam subjek seperti Matematik dan Sains yang sebelum ini menjadi cabaran besar buatnya.
“Cara cikgu tuisyen mengajar di NADI lebih menarik dan mudah difahami serta lebih interaktif, seronok tuisyen di situ bersama kawan-kawan lain kerana kami dapat belajar bersama-sama dalam suasana yang santai namun cikgu memberi penekanan khusus bagaimana mahu mendapat keputusan cemerlang," katanya yang mendapat keputusan 7A dan 1B dalam SPM baru-baru ini.
Kisah kejayaan turut dikongsi Muhammad Luqman Hazim Abdul Nasir, 18, dari SMK Mengkuang yang sebelum ini mengakui sering gagal dalam beberapa subjek utama namun penyertaannya dalam program e-Tuisyen Rakyat membawa perubahan besar apabila dia memperoleh keputusan 4A, 2B+ dan 1B dalam SPM.
“Sejarah dan Matematik memang gagal sebelum ini manakala beberapa subjek lain turut lemah, tapi selepas mengikuti kelas di NADI, saya mula nampak perubahan dan keputusan percubaan SPM menunjukkan peningkatan.
"Pengajaran di sini tidak terlalu terikat dengan silibus semata-mata, sebaliknya lebih kepada teknik yang menarik dan mudah faham, itu yang buatkan saya lebih fokus,” katanya yang mahu menyambung pelajaran dalam bidang Sains Komputer.
Muhammad Luqman Hazim berkata beliau mengetahui mengenai program itu melalui ibunya, Norizan Shafiee, 54, yang memaklumkan peluang menyertai kelas tambahan tersebut selepas menjadi ahli NADI.
Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan program e-Tuisyen Rakyat akan dijadikan program teras untuk dilaksanakan secara meluas di semua NADI di seluruh negara, tahun ini, susulan kejayaan 36 pelajar yang mengikuti tuisyen dalam talian di NADI memperoleh keputusan 7A dan ke atas dalam peperiksaan SPM baru-baru ini.
Pada 2025, lebih 42,000 pelajar tingkatan lima menyertai program e-Tuisyen Rakyat yang dilaksanakan di hampir 1,100 NADI di seluruh negara.
-- BERNAMA