KOTA KINABALU, 27 April (Bernama) -- Sebanyak 10 lagi klinik di Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dijangka mula beroperasi menjelang Jun ini, sekali gus melengkapkan keseluruhan 15 klinik yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan.
Pengarah HUMS Prof Madya Dr Malehah Mohd Noh berkata setakat ini, lima klinik di bawah Pusat Perubatan Primer HUMS telah beroperasi sejak Mac lepas, khusus untuk warga Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Beliau berkata lima klinik itu melibatkan klinik pakar perubatan keluarga, klinik obesiti, One Stop Diabetic Centre, klinik dietetik, dan klinik psikiatri, manakala 10 klinik lagi akan dibuka merangkumi pelbagai perkhidmatan termasuk perubatan am, sakit puan dan kanak-kanak.
“Kita jangka kesemua 15 klinik ini dapat dilengkapkan menjelang akhir Mei dan sekiranya operasi berjalan dengan lancar, ia akan dibuka kepada orang awam pada Jun ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pusat Perubatan Primer HUMS yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan di sini, hari ini.
Dr Malehah berkata pembukaan awal kepada warga UMS bertujuan mendapat maklum balas bagi memastikan sistem perkhidmatan termasuk aliran pesakit serta kemudahan teknikal berada pada tahap optimum sebelum diperluas kepada orang awam.
Ketika ini, katanya, HUMS mempunyai lebih 700 tenaga kerja yang mencukupi untuk menampung fasa awal pengoperasian, dan jumlah itu akan ditambah secara berperingkat mengikut keperluan sebelum beroperasi sepenuhnya selama 24 jam menjelang 2028.
Dalam pada itu, Dr Malehah berkata HUMS turut memberikan tumpuan kepada usaha melahirkan doktor pakar berkualiti dengan mengambil kira-kira 100 pelajar perubatan setiap tahun dan merancang meningkatkan jumlah itu kepada 150 pelajar.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata pembukaan HUMS dijangka dapat membantu mengurangkan tempoh menunggu pesakit yang dianggarkan hingga enam jam untuk mendapat rawatan.
Sehubungan dengan itu, katanya, dengan pengoperasian lima klinik fasa pertama itu mampu memperkukuh agenda kesihatan dan kesejahteraan komuniti melalui perkhidmatan lebih cekap dan menyeluruh.
Beliau berkata kemudahan itu bukan sahaja memberikan manfaat kepada warga UMS, tetapi juga membuka peluang kepada komuniti setempat untuk mendapat rawatan kesihatan primer lebih sistemik dan profesional.
“Kita sedang menambah baik prosedur bagi mengurangkan kerenah birokrasi supaya pesakit mendapat perkhidmatan terbaik,” katanya.
-- BERNAMA