JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM Siasat Pemilik Akaun Facebook Hina Sultan Selangor

27/04/2026 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik atau pentadbir akaun Facebook "Huayan The Pureland Learning Centre" berhubung hantaran gambar penghinaan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata selain itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut merampas peranti yang digunakan untuk membuat hantaran terbabit pada 25 April lepas.

“Setakat ini, 21 laporan polis diterima dan sebanyak 21 saksi termasuk individu yang tampil membuat laporan polis, telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kumar berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial untuk tujuan menyalahi undang-undang, khususnya yang menyentuh isu sensitif 3R (raja, agama, kaum).

“Kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mempunyai had, justeru orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhemat dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam mahupun media sosial,” katanya.

Semalam, beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor meminta PDRM dan MCMC mengambil tindakan tegas terhadap hantaran yang menghina Sultan Selangor.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549937