DUNIA

Pemimpin Pakistan, Iran Bincang Isu Serantau Menerusi Panggilan Telefon

26/04/2026 10:51 AM

ISLAMABAD, April 26 (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif mengadakan perbualan telefon pada Sabtu dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian.

Mereka membincangkan perkembangan situasi serantau dan usaha diplomatik yang berterusan ke arah keamanan dan kestabilan, kata Pejabat Perdana Menteri, lapor Anadolu Ajansi (AA). 

Panggilan itu yang berlangsung sekitar 50 minit, memfokuskan pada perkembangan terkini, termasuk peranan Islamabad dalam memudahkan dialog susulan ketegangan membabitkan Iran dan Amerika Syarikat (AS), menurut satu kenyataan.

Sharif menyambut baik penyertaan delegasi Iran dalam rundingan yang diadakan di Islamabad awal bulan ini dan menghargai keputusan Tehran menghantar Menteri Luar Abbas Araghchi untuk perbincangan lanjut, termasuk pertemuan dengan kepimpinan Pakistan.

Perdana Menteri Pakistan itu juga menekankan pendekatan diplomatiknya baru-baru ini kepada para pemimpin global, dengan mengatakan ia telah membantu membina sokongan yang lebih luas untuk dialog berterusan dan resolusi aman terhadap konflik yang berlanjutan.

Pezeshkian pula mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Pakistan, termasuk Panglima Tentera Darat Marshal Asim Munir dan Menteri Luar Ishaq Dar, atas peranan mereka dalam memajukan usaha damai.

Beliau menegaskan semula keinginan Iran untuk kestabilan dan menyatakan keyakinan terhadap pengukuhan berterusan hubungan dua hala.

Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengekalkan penyelarasan erat, menekankan komitmen bersama mereka terhadap keamanan dan kerjasama serantau.

Terdahulu pada Sabtu, Sharif turut bertemu Araghchi dan delegasinya dalam usaha menyambung semula rundingan damai yang terhenti antara AS dan Iran untuk menamatkan perang yang bermula pada 28 Feb.

-- BERNAMA-ANADOLU 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549482