SIBU, 26 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa golongan berpengalaman serta institusi pengajian tinggi, untuk bekerjasama menjalankan kajian dan merakam sejarah masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Beliau berkata masih banyak sejarah yang belum didokumentasikan, khususnya berkaitan kebudayaan, kewujudan bangsa dan perkembangan masyarakat pelbagai etnik di negeri itu.
“Usaha mendokumentasikan sejarah ini penting, sebagai panduan dan pendorong kepada generasi baharu untuk memahami bagaimana masyarakat berbilang kaum dapat hidup bersatu serta bersama-sama membangunkan negeri,” katanya.
Fadillah berkata kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), persatuan kebudayaan, persatuan bahasa serta persatuan graduan perlu diperkukuh, bagi melaksanakan kajian berkaitan kehidupan masyarakat tempatan.
Beliau turut menekankan kepentingan sejarah sebagai pengajaran kepada generasi akan datang.
“Jika kita tidak belajar daripada sejarah, kesilapan lalu berkemungkinan berulang. Sejarah harus menjadi kekuatan untuk kita membangunkan negeri dan negara,” katanya ketika melancarkan buku Secebis Kisah Perjuangan Bangsa: Ikhlasnya Pengorbanan Indahnya Kemerdekaan, karya Allahyarham Hamdan Marais yang juga dikenali sebagai Pak Den, di sini hari ini.
Fadillah berkata penerbitan buku berkenaan, penting dalam usaha mendokumentasikan sejarah perjuangan bangsa, khususnya di Sarawak, agar dapat dijadikan rujukan generasi akan datang.
Beliau berkata pengorbanan pejuang terdahulu yang berdepan pelbagai cabaran, termasuk kehilangan nyawa, harta benda dan kebebasan, perlu dihargai serta dijadikan iktibar.
“Pengorbanan itu tidak akan membawa makna tanpa keikhlasan, kesungguhan dan komitmen. Inilah mesej penting yang perlu difahami oleh generasi muda hari ini,” katanya.
Sebagai sokongan, Fadillah mengumumkan akan menyalurkan peruntukan bagi mencetak kira-kira 5,000 naskhah buku itu, untuk diedarkan di seluruh Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Beliau berharap buku tersebut dapat dimanfaatkan di sekolah dan institusi pendidikan sebagai bahan rujukan, bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Sementara itu, wakil keluarga Allahyarham Medina Hamdan berkata penerbitan buku itu, merealisasikan hasrat Allahyarham untuk merakam pengalaman hidupnya, termasuk sejarah kebangkitan masyarakat Melayu di Sibu.
Beliau berkata keluarganya amat terkesan dengan pemergian Allahyarham, namun bersyukur karya tersebut berjaya diterbitkan untuk tatapan umum.
“Kami berharap buku ini dapat memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang dalam memahami serta menghargai perjuangan terdahulu yang membawa kepada kesejahteraan hari ini,” katanya.
Medina berkata buku itu turut memaparkan sejarah perkampungan Melayu di Sibu, penentangan terhadap penjajah serta penubuhan Pemuda Melayu Sibu berdasarkan pengalaman Allahyarham sendiri.
Majlis pelancaran itu diadakan sebagai penghargaan terhadap jasa Allahyarham dalam menyumbang kepada dokumentasi sejarah Sarawak.
-- BERNAMA