KUDAT, 23 April (Bernama) -- Sebuah lagi Remote Sensor Site (RSS) atau Tapak Sensor Jarak Jauh bakal dibina di Pulau Malawali bagi meningkatkan serta mengukuhkan kupayaan pemantauan terhadap sebarang pencerobohan di bahagian utara Sabah.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan keperluan semasa kerajaan telah memperuntukkan RM88 juta bagi membina RSS berkenaan yang diluluskan dalam pelan pusingan pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Ketika ini RSS Balambangan hanya dapat memantau 70 peratus kawasan pemantauan di bahagian utara Sabah, namun apabila RSS Malawali siap dibina kelak ia akan dapat membantu memantau seluruh kawasan di bahagian utara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat RRS Balambangan di sini hari ini.
Beliau berkata dengan adanya kedua-dua RRS itu, pengawasan dan pemantauan seluruh kawasan panas dan laluan tikus di kawasan utara Sabah dapat dipertingkatkan, sekali gus menghalang sebarang bentuk pencerobohan.
“Selain itu, beberapa penambahan lagi untuk memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan perairan Sabah, termasuk penambahan aset 10 bot kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan ia sudah diluluskan,” katanya.
Mengenai lawatannya, Saifuddin Nasution berkata ia bertujuan meninjau keupayaan RRS berkenaan dalam melaksanakan pemantauan di kawasan utara Sabah.
“Saya datang untuk melihat sendiri operasi pemantauan di sini kerana kita tahu kawasan ini merupakan laluan tikus di sempadan Malaysia dan Filipina, sekali gus merupakan kawasan panas berlakunya penyeludupan dan jenayah rentas sempadan serta pelbagai lagi akitiviti yang memudaratkan keselamatan ekonomi negara.
“Saya pilih pendekatan turun padang seperti ini untuk memahami bagaimana strategi yang dirangka di peringkat kementerian dan agensi penguat kuasa benar-benar berjalan lancar seperti yang disusun,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata krisis tenaga global yang berlaku ketika ini telah memberikan kesan kepada negara terutamanya bekalan minyak mentah dan harga barangan.
“Jadi kerajaan mesti bertindak balas terhadap krisis ini dan jaminan kerajaan adalah dua perkara iaitu kestabilan ekonomi serta kebajikan rakyat…termasuk pendekatan memperuntukkan subsidi yang besar agar rakyat tidak terkesan.
“Ketika dasar kerajaan mementingkan kebajikan rakyat dengan memperuntukkan belanja yang besar agar harga masih lagi pada tahap yang tidak membebankan rakyat…tiba-tiba berlaku aktiviti penyeludupan, ketirisan dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata Jemaah Menteri telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri secara khusus untuk membantu meningkatkan pemantauan ke atas segala aktiviti penyelewengan.
“Arahan telah ditingkatkan lagi, misalnya pemantauan di stesen minyak berhampiran sempadan yang menjadi tugas hakiki Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan dibantu oleh pihak polis,” katanya.
-- BERNAMA