AM

Projek Solar Hibrid Pertama Di Melaka Dibangunkan Di Empangan Jus

24/04/2026 12:47 AM

MELAKA, 23 April (Bernama) -- Projek solar hibrid pertama di Melaka bernilai RM437 juta akan dibangunkan di kawasan seluas 122.08 hektar di Empangan Jus, Jasin, akhir tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata projek ladang solar terapung berkapasiti 90 megawatt arus ulang-alik (MWac) itu melibatkan pemasangan 190,000 panel solar merangkumi kawasan daratan dan permukaan air.

Beliau berkata projek yang merupakan kerjasama strategik antara kerajaan negeri menerusi Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dengan Syarikat Jus Power Sdn Bhd itu, dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung 2027.

"Tenaga yang dijana akan disalurkan ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kegunaan di Semenanjung Malaysia sepanjang tempoh operasi 21 tahun.

"Projek ini akan menjana sekitar 206 gigawatt jam tenaga setahun yang mencukupi untuk kira 35,000 rumah serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 125,000 tan setahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kerjasama bagi Projek Pembangunan Ladang Solar Terapung Berkapasiti 90 MWac di Empangan Jus antara Kerajaan Negeri Melaka diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad dan Pengerusi Syarikat Jus Power Sdn Bhd Datuk Seri Ong Ah Hwa.

Rais berkata pembangunan projek solar berkenaan adalah yang pertama dilaksanakan di kawasan empangan di Melaka dan sekiranya ia berjaya mencapai sasaran ditetapkan dalam tempoh operasi 21 tahun itu, berkemungkinan akan diperluaskan ke Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dan Empangan Asahan di Jasin.

Beliau berkata projek itu juga diharap menjadi pemangkin bagi mengukuhkan agenda peralihan tenaga bersih dan pembangunan hijau di Melaka.

"Pembangunan projek ini selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk mencapai 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050.

"Bagi negeri ini, di bawah Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) kerajaan negeri menyasarkan kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 300 MW dan setakat ini kita telah mencapai sekitar 200 MW, iaitu hampir 70 peratus daripada sasaran," katanya.

Beliau berkata sebelum ini, pembangunan ladang solar di Ayer Keroh, Rembia, Bemban dan Masjid Tanah telah menjana kira-kira 102 gigawatt jam tenaga setahun sekali gus berupaya membekalkan elektrik kepada lebih 28,000 rumah di kawasan terlibat.

Rais berkata projek berkenaan sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh agenda tenaga lestari di Melaka.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2548646