BANGKOK, 23 April (Bernama) -- Thailand menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan kerjasama dengan Malaysia dalam menangani cabaran keselamatan dan pembangunan di wilayah sempadan selatannya.
Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Chatchai Bangchuad berkata perkara itu telah disokong dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anutin Charnvirakul pada Khamis.
Mesyuarat itu juga mempersetujui beberapa langkah utama meliputi keselamatan, kerjasama ekonomi dan penguatkuasaan undang-undang, dalam usaha memajukan usaha keamanan di rantau ini, katanya.
“Kerjasama dengan Malaysia kekal sebagai mekanisme utama dalam menangani situasi di wilayah sempadan selatan, khususnya dalam mengekalkan kestabilan keselamatan dan menyokong usaha damai yang berterusan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu.
Beliau berkata Thailand akan meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam memperhebat langkah kawalan termasuk membendung pergerakan kumpulan bersenjata dan senjata, sambil meneruskan proses dialog damai di peringkat domestik dan antarabangsa.
Tambahnya, majlis itu juga meluluskan pelantikan Thanat Suwannanon, pengarah Agensi Perisikan Kebangsaan, sebagai ketua panel dialog keamanan yang baharu untuk wilayah sempadan selatan.
-- BERNAMA