DUNIA

Brazil Dan Jerman Perlu Gesa Untuk Afrika Selatan Berada Di G20 -Lula

21/04/2026 03:46 PM

HANOVER (Jerman), 21 April (Bernama-dpa) -- Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva pada Isnin menyelar pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bahawa Afrika Selatan tidak akan menerima jemputan ke sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) yang akan diadakan di Florida.

Berucap pada sidang akhbar di bandar Hanover di Jerman bersama Canselor Friedrich Merz, Lula berkata beliau telah menasihati Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa untuk tetap pergi ke Florida.

"Afrika Selatan ialah ahli pengasas G20," kata Lula. "Jika Afrika Selatan dibuang hari ini, Jerman akan dibuang esok, Brazil akan dibuang," tambahnya, lapor agensi berita Jerman dpa.

Beliau menyeru kerajaan Jerman supaya menyertai Brazil untuk mendesak penyertaan Afrika Selatan dalam sidang kemuncak ekonomi perindustrian dan membangun terkemuka itu.

Trump mengumumkan sebelum ini Afrika Selatan tidak akan dijemput ke sidang kemuncak itu, yang akan diadakan pada bulan Disember di hotel Trump National Doral Miami miliknya.

Beliau menuduh Afrika Selatan melakukan pembunuhan beramai-ramai petani kulit putih di Afrika Selatan - satu dakwaan yang ditolak oleh Pretoria dan pakar. 

AS memboikot sidang kemuncak G20 di Johannesburg akhir tahun lepas.

-- BERNAMA-dpa

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547534