BOGOTA (Colombia), 18 April (Bernama-Anadolu) -- Satu undang-undang perlombongan baharu yang diluluskan oleh Parlimen Venezuela bulan ini telah ditandatangani oleh Pemangku Presiden Delcy Rodriguez, menurut media kerajaan.
Anadolu Ajansi (AA) yang memetik penyiar rasmi VTV pada Jumaat melaporkan bahawa Rodriguez mengumumkan perkara itu dalam satu mesyuarat bersama pegawai ekonomi di ibu negara Caracas, sambil menyatakan perundangan itu dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor perlombongan negara.
"Undang-Undang Perlombongan Organik kini berkuat kuasa serta-merta. Di sini, saya menyerahkan undang-undang ini kepada rakyat Venezuela yang akan membolehkan kita menarik pelaburan penting," katanya.
Rodriguez turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Setiausaha Negara Marco Rubio atas pendekatan mereka dalam memperkukuh kerjasama diplomatik serta ekonomi dengan Venezuela.
"Tujuan undang-undang ini adalah untuk memastikan semua proses pelaburan, pembangunan, pengeluaran dan pemasaran dalam sektor perlombongan dijalankan secara selaras dan harmoni, sekali gus menyasarkan prestasi yang jauh lebih tinggi," katanya.
Perundangan itu, yang diluluskan sebulat suara oleh parlimen, bertujuan memperluas peranan syarikat domestik dan asing dalam mengekstrak mineral strategik serta memodenkan sektor perlombongan Venezuela. Pihak berkuasa berharap langkah itu dapat mempelbagaikan sumber pendapatan negara selain daripada minyak.
Langkah berkenaan menyusuli satu lagi reformasi yang diterima pakai pada akhir Januari lepas, apabila parlimen meluluskan langkah-langkah untuk memudahkan penyertaan asing dalam industri minyak Venezuela.
Inisiatif itu diambil susulan operasi ketenteraan AS pada 3 Januari yang menahan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan membawanya ke AS untuk menghadapi pertuduhan pengedaran kokain dan keganasan narkotik.
Venezuela dipercayai memiliki antara rizab emas terbesar di dunia selain mempunyai deposit elemen nadir bumi dan mineral kritikal yang signifikan termasuk bauksit, besi, arang batu, kuprum, nikel serta koltan, yang menurut pegawai boleh memainkan peranan utama dalam memacu ekonomi negara.
-- BERNAMA-ANADOLU