ISTANBUL, 20 April (Bernama-Anadolu) -- Presiden Donald Trump pada Ahad mendakwa angkatan laut Amerika Syarikat (AS) memintas dan melumpuhkan sebuah kapal kargo berbendera Iran yang didakwa cuba melepasi sekatan laut AS di Teluk Oman, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut beliau, kapal berkenaan kini ditahan oleh anggota Marin AS.
Trump berkata kapal pemusnah peluru berpandu USS Spruance memintas kapal TOUSKA selepas krunya didakwa enggan mematuhi amaran untuk berhenti.
Beliau mendakwa kapal tentera laut AS itu melumpuhkan TOUSKA dengan menyerang bilik enjinnya.
Trump turut mendakwa TOUSKA, yang menurutnya berukuran hampir 900 kaki (274 meter) panjang dan seberat hampir sebuah kapal pengangkut pesawat, dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan AS susulan aktiviti yang disifatkannya sebagai “haram” sebelum ini.
Beliau berkata, angkatan AS kini sedang memeriksa muatan kapal berkenaan.
Iran setakat ini belum mengulas mengenai insiden itu.
AS secara rasmi mengumumkan sekatan laut pada 13 April.
-- BERNAMA-ANADOLU