DUNIA

Trump Harap Hizbullah Patuhi Gencatan Senjata, Sifatkannya Sebagai ‘Perkembangan Baik’ Untuk Kumpulan Itu

17/04/2026 02:15 PM

WASHINGTON, 17 April (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata beliau berharap kumpulan Hizbullah akan mematuhi gencatan senjata yang diusahakan antara Lubnan dan Israel, lapor Anadolu Ajansi.

“Saya berharap Hizbullah bertindak dengan baik dan wajar dalam tempoh penting ini. Ia akan menjadi detik yang sangat baik untuk mereka jika berbuat demikian.

 “Tiada lagi pembunuhan. Keamanan akhirnya mesti diwujudkan!” kata beliau menerusi platform Truth Social.

Trump mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan Lubnan lebih awal pada Khamis selepas apa yang disifatkannya sebagai “perbualan yang sangat baik” dengan Presiden Lubnan Joseph Aoun dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

“Kedua-dua pemimpin ini telah bersetuju bahawa, bagi mencapai keamanan antara negara masing-masing, mereka akan secara rasmi memulakan gencatan senjata selama 10 hari pada 5 petang EST,” katanya, iaitu tengah malam waktu tempatan (2100 GMT) di Tel Aviv dan Beirut.

Pengumuman itu dibuat susulan rundingan yang dimudah cara AS antara delegasi Lubnan dan Israel, yang berlangsung pada Selasa di Jabatan Negara di Washington, DC.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545954