AM

KDN Teliti Teknologi Baharu Di DSA, NATSEC 2026 Perkasa Keselamatan Negara

21/04/2026 03:01 PM

PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memanfaatkan penyertaan dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 bagi menilai teknologi serta aset keselamatan terkini, selaras dengan perancangan jangka panjang kementerian.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pameran berkenaan adalah platform strategik yang menghimpunkan pemain industri pertahanan dan keselamatan tempatan serta antarabangsa untuk mempamerkan produk terbaru dalam bidang perisikan dan sistem keselamatan moden.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata KDN sentiasa meneliti aset serta teknologi baharu bagi memperkukuh kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara dalam mendepani cabaran semasa.

“Langkah ke depan untuk melihat sebarang potensi produk baharu dan sebagainya, kami akan buat sesuai dengan perancangan strategik jangka panjang KDN.

“Jadi sesuai dengan pelan jangka panjang kami, apabila ada pameran seperti DSA, ini peluang terbaik untuk pegawai-pegawai saya hadir dan tengok sendiri, dan sesuaikan dengan keperluan yang telah kami gariskan dalam dasar jangka panjang kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pemeteraian kontrak perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata KDN akan meneliti sebarang potensi perolehan atau penambahbaikan keupayaan berdasarkan keperluan yang telah digariskan dalam dasar strategik jangka panjang kementerian itu.

“Kita tak boleh bersifat knee-jerk atau impromptu (terburu-buru). KDN sifatnya ialah sudah punya satu dasar jangka panjang dalam segala perkara bagi memenuhi tugas hakiki.

“Ia termasuklah soal meningkatkan keupayaan dari sudut peralatan dan sebagainya,” katanya.

Pameran DSA yang memasuki edisi ke-19 itu berlangsung hingga Khamis ini, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Sementara itu, mengenai cadangan pelaksanaan sistem baharu pengambilan pekerja asing dikenali The Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP), Saifuddin Nasution berkata KDN akan memberikan pandangan lanjut apabila ia dibawa ke peringkat Jemaah Menteri.

“Apabila hal itu dibawa dalam Jemaah Menteri, KDN akan bagi pandangan pada ketika itu,” katanya.

Sebelum ini, sembilan Ahli Parlimen PKR memandang serius laporan dan reaksi Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berhubung cadangan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melaksanakan satu sistem TURAP yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd (Bestinet).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547458