KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Boustead Holdings Berhad (Boustead) hari ini memeterai dua kerjasama strategik dengan Airbus, bersempena dengan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026), sekali gus mengukuhkan peranannya dalam memajukan keupayaan pertahanan dan angkasa Malaysia.
Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) syarikat itu dengan Airbus Defence and Space tersebut bagi meneroka kerjasama dalam program satelit telekomunikasi pertahanan Malaysia.
Selain itu, Boustead turut menandatangani surat hasrat dengan Airbus Helicopters untuk meneroka potensi peranan sebagai kontraktor utama bagi program helikopter tentera Malaysia pada masa akan datang.
Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad dalam satu kenyataan berkata kerjasama tersebut, mencerminkan peranan Boustead yang semakin berkembang sebagai pemangkin strategik dalam ekosistem pertahanan Malaysia.
“Menerusi kerjasama kami dengan Airbus, kami bukan sahaja memperkukuh keupayaan merentas sektor aeroangkasa dan angkasa, malah menyokong aspirasi negara ke arah kebergantungan kendiri yang lebih tinggi, pemindahan teknologi serta pembangunan industri yang mampan di bawah kerangka Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN),” katanya.
Majlis penandatanganan di pavilion Boustead itu disempurnakan Ahmad Sabirin bersama Ketua Airbus Helicopters Asia Pasifik Vincent Dubrule dan Ketua Airbus Defence and Space Asia Pasifik Zakir Hamid telah disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
MoU dengan Airbus Defence and Space akan memberi tumpuan kepada penilaian kerjasama merangkumi keseluruhan rantaian nilai satelit, termasuk pembangunan sistem angkasa, operasi segmen darat serta keupayaan penyelenggaraan jangka panjang, bagi menyokong aspirasi Malaysia dalam memperkukuh infrastruktur telekomunikasi berdaulatnya.
Sementara itu, surat hasrat dengan Airbus Helicopters pula menggariskan potensi peranan Kumpulan Boustead sebagai kontraktor utama bagi program perolehan helikopter tentera pada masa hadapan.
Perkara ini tertakluk kepada pemenuhan keperluan utama termasuk keupayaan pembiayaan, kepakaran pengurusan projek serta pematuhan terhadap proses usaha wajar dan pengesahan Airbus.
Ahmad berkata Boustead kekal memberi tumpuan kepada penyampaian nilai jangka panjang melalui kerjasama berstruktur yang memperkukuh keupayaan tempatan, memperdalam penyertaan industri serta meletakkan Malaysia secara kompetitif dalam landskap pertahanan serantau.
Kedua-dua kerjasama ini menyerlahkan kedudukan strategik Boustead sebagai rakan nasional utama dalam menyokong ekosistem pertahanan Malaysia di bawah DIPN dan Program Kolaborasi Industri (ICP).
-- BERNAMA