AM

Boustead Meterai MoU Dengan SMP, EES Tingkat Keupayaan MRO Kapal Tentera Laut, Kapal Selam    

21/04/2026 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) - Boustead Holdings Bhd (Boustead) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dengan dua syarikat untuk meningkatkan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kapal tentera laut dan sistem menyelamat kapal selam.

Boustead dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan MoU tersebut dimeterai dengan syarikat kejuruteraan dasar laut Submarine Manufacturing & Products Limited (SMP) yang berpangkalan di United Kingdom (UK) dan firma kejuruteraan Malaysia ENRA Energy Solutions Sdn Bhd (EES) yang terlibat dalam logistik tenaga, pembangunan hartanah dan perkhidmatan MRO.

Menurut kenyataan tersebut, Mou dengan SMP yang mengkhusus dalam kapal selam itu mencerminkan hasrat kedua-dua pihak untuk meneroka peluang dalam pembangunan sistem menyelamat kapal selam, memanfaatkan kepakaran SMP dan peranan Boustead dalam memudahkan inisiatif berkaitan pertahanan di Malaysia.

"Di bawah MoU itu, Boustead akan menyediakan sokongan kepimpinan strategik dan tadbir urus, memudahkan libat urus dengan pihak berkepentingan berkaitan pertahanan dan entiti berkaitan kerajaan, serta menyokong penstrukturan projek, pembiayaan dan kemampanan jangka panjang.

"Kedua-dua pihak juga akan meneroka kerjasama operasi, pengurusan projek dan pembangunan keupayaan dalam sektor pertahanan,” demikian maklum kenyataan itu.

Menurut Boustead, MoU kedua dengan EES pula bertujuan untuk meneroka bersama perkhidmatan MRO bagi sistem pendorongan dan penjanaan kuasa kapal, selain sokongan kitaran hayat untuk kapal yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam projek tentera laut yang disasarkan, termasuk menyertai bersama dalam tender, berkongsi kepakaran teknikal serta menyelaraskan bersama usaha pembangunan perniagaan.

Boustead dan EES juga akan bekerjasama dan meneroka pembangunan keupayaan kodifikasi, termasuk pengenalpastian bahagian, penyeragaman dan rangka kerja sokongan logistik.

Kedua-dua MoU tersebut dimeterai Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad bersama Pengarah Urusan SMP Ben Sharples dan Ketua Pegawai Eksekutif EES Ikhlas Zainal di acara Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia 2026 (DSA 2026), di sini.

Majlis permeteraian itu disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut disertai Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin (B), Ketua Eksekutif LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi, Pengerusi Boustead Jeneral Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal (B), Ketua Jualan Serantau SMP Christopher Webb, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENRA Group Bhd Tan Sri Kamal Aliuddin Abdullah serta Pengerusinya Datuk Ali Abdul Kadir.

Pada peringkat ini, MoU tersebut berfungsi sebagai rangka kerja kerjasama tidak mengikat dan tidak mewujudkan obligasi kewangan dengan inisiatif khusus dan cadangan pelaburan akan dimeteraikan melalui perjanjian muktamad berasingan.

Ahmad Sabirin menerusi kenyataan itu berkata kerjasama tersebut mencerminkan tumpuan kumpulan untuk memperkukuh ekosistem pertahanan maritim Malaysia.

"Daripada sistem menyelamat kapal selam kepada penyelenggaraan, pembaikan dan perkhidmatan baik pulih kapal tentera laut, kami komited untuk membina perkongsian yang meningkatkan kesediaan operasi, daya tahan dan kemampanan jangka panjang," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547688