JENAYAH & MAHKAMAH

Suami Isteri Direman Tujuh Hari Bantu Siasatan Kes Dera Kanak-kanak

21/04/2026 11:44 PM

KUALA KRAI, 21 April (Bernama) -- Pasangan suami isteri direman tujuh hari bermula hari ini kerana disyaki melakukan penderaan terhadap anak saudara lelaki berusia 10 tahun di Kampung Sungai Mas, Machang.

Ketua Polis Daerah Machang Supt Azuhar Md Nor berkata pasangan itu ditahan semalam dan mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk proses reman yang dibenarkan hingga 27 April ini.

Beliau berkata penahanan suami isteri berusia 29 dan 31 tahun itu susulan laporan polis yang dibuat oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Bakar, Machang.

Difahamkan kanak-kanak tersebut tinggal bersama pasangan itu dan mangsa telah dibawa ke klinik berkenaan bagi menjalani pemeriksaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Che Samsuzuki Che Noh berkata kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil selepas menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 19(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"JKM juga merancang untuk menempatkannya di rumah perlindungan yang selamat di Terengganu serta sedang berusaha mengesan waris terdekat," katanya kepada pemberita hari ini.

  Katanya JKM telah mengadakan perbincangan dengan pihak hospital mengenai tindakan susulan  dan kaunselor JKM akan membantu mengatasi trauma yang dialami kanak-kanak itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547826