KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Cendana Auto Sdn Bhd dan SISU Auto dari Finland hari ini menjalin kerjasama strategik untuk memajukan keupayaan industri pertahanan Malaysia melalui pembangunan bersama dalam teknologi, kejuruteraan dan penyetempatan platform kenderaan pertahanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Cendana Auto Fairuz Abd Razak berkata selaras dengan agenda Malaysia untuk memperkukuh kemandirian pertahanan dan daya tahan industri, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan dalam negara daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D), kejuruteraan hinggalah kepada pemasangan, pembuatan dan sokongan kitaran hayat kenderaan.
“Teras bagi perkongsian ini ialah program pembangunan dan kejuruteraan bersama, dengan kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam reka bentuk dan penyesuaian platform kenderaan canggih, termasuk konfigurasi Pemanduan Sebelah Kanan (RHD) yang disesuaikan dengan keperluan operasi serantau,” katanya.
Fairuz berkata syarikat itu akan memanfaatkan kerjasama tersebut untuk mengembangkan pembangunan bakat tempatan melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penglibatan veteran Angkatan Tentera Malaysia.
“Buat masa ini, kira-kira 30 peratus daripada pasukan teknikal kami adalah daripada institusi TVET seperti GIAT MARA dan IKBN, antara lainnya. Semua pelajar akan terlibat dalam pembangunan kenderaan jenis ini.
“Dengan penyertaan golongan muda ini, kami mahu mereka mempelajari teknologi pertahanan baharu, terutamanya untuk industri tempatan,” katanya ketika ditemui Bernama di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata program itu akan menekankan kepada pemindahan teknologi berstruktur, pembangunan bersama sistem dan subsistem serta pembangunan progresif harta intelek tempatan.
“Tonggak utama kerjasama itu ialah penyetempatan keupayaan pengeluaran dan sokongan di Malaysia.
“Cendana Auto akan mengembang dan meningkatkan kemudahannya bagi menyokong pemasangan dan pembuatan tempatan, termasuk program CKD (pemasangan tempatan) dan semi CKD, sambil memperkukuh ekosistem vendor domestik dan rantaian bekalan,” kata Fairuz.
Sementara itu, Naib Presiden SISU Auto Jyri Ahonen berkata pemindahan pengetahuan dan teknologi penting untuk memastikan kemampanan jangka panjang dan kesediaan operasi kenderaan pertahanan di Malaysia.
“Pemindahan teknologi dan pengetahuan merupakan bahagian penting dalam usaha Cendana untuk menyediakan sokongan kitaran hayat bagi kenderaan pertahanan di negara ini,” katanya.
Ahonen juga menyifatkan Cendana Auto sebagai rakan kongsi kongsi pelengkap yang memiliki keupayaan dan pengalaman luas dalam industri kenderaan pertahanan.
-- BERNAMA