JENAYAH & MAHKAMAH

Malaysia Sasar Jadi Sebahagian Rantaian Bekalan Global Aset Pertahanan

20/04/2026 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Malaysia disasar menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global bagi komponen aset pertahanan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata negara ini mempunyai kekuatan dalam membangunkan perisian, litar bersepadu dan pelbagai komponen teknologi maklumat.

“Syarikat tempatan kita seperti CTRM (Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd) di Melaka sudah pun terlibat dalam rantaian bekalan global untuk komponen pesawat.

"Malah, ada syarikat tempatan yang sudah mampu menghasilkan peluru, sistem flare untuk pesawat dan kenderaan darat serta mencadangkan penghasilan meriam artileri 105 mm sendiri. Ini menunjukkan kita beralih daripada sekadar menjadi ejen, kepada pengeluar komponen yang diiktiraf," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pavilion Kementerian Pertahanan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata kementerian turut mewajibkan penggunaan 30 peratus komponen tempatan dalam perolehan aset pertahanan bagi memberi peluang kepada syarikat inovator tempatan menunjukkan kemampuan mereka.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan DSA dan NATSEC menyeru  pemain industri pertahanan dan aeroangkasa global untuk menjalinkan kerjasama lebih rapat dengan pengeluar di Malaysia selari dengan peranan negara yang semakin berkembang dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang kini berkhidmat di bawah misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) berada dalam kesiapsiagaan tinggi meskipun gencatan senjata selama 10 hari antara kerajaan Lubnan dan Israel berkuat kuasa, Jumaat lepas.

“Jika berlaku pelanggaran (gencatan senjata), mereka diarahkan untuk mengambil langkah perlindungan seperti berada di dalam bunker," katanya.

Mengulas mengenai laporan kematian tentera Perancis di kawasan sempadan Lubnan baru-baru ini, Mohamed Khaled berkata pasukan negara ketika ini berada di zon lebih selamat.

"Pasukan Malaysia berada di kedudukan tengah, manakala pasukan dari Indonesia dan Perancis berada lebih dekat dengan sempadan Lubnan-Israel. Namun, kita tidak boleh mengambil mudah kerana ancaman misil dan roket boleh melangkaui sempadan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547015