DUNIA

Korea Selatan Sertai Pameran DSA Di Malaysia

20/04/2026 06:23 PM

SEOUL, 20 April (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan akan mengendalikan sebuah reruai promosi di pameran pertahanan utama di Malaysia minggu ini bagi mempromosikan produk pertahanan tempatan yang disasarkan menembusi pasaran Asia Tenggara, lapor Yonhap memetik agensi perolehan senjata negara itu.

Defence Services Asia (DSA) 2026, yang berlangsung selama empat hari dari Isnin hingga Khamis di Kuala Lumpur, akan disertai oleh Defence Acquisition Program Administration (DAPA) dan Korea Research Institute for Defence Technology Planning and Advancement.

DSA ialah pameran pertahanan terbesar di Asia yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia, menghimpunkan kira-kira 1,400 syarikat pertahanan serta pegawai kerajaan dan tentera dari sekitar 60 negara.

Pada tahun ini, lapan syarikat pertahanan Korea Selatan akan mempamerkan pelbagai produk baharu berteknologi maju, termasuk sonar yang dipasang pada badan kapal, dron bawah air dan sistem sokongan keputusan arahan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

DAPA juga merancang bekerjasama dengan Korea Trade-Investment Promotion Agency milik kerajaan bagi memudah cara sesi rundingan antara pembeli asing dan syarikat pertahanan tempatan sebagai sebahagian daripada usaha menyokong eksport industri itu ke luar negara.

-- BERNAMA-YONHAP

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547140