KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Industri automotif Malaysia mencatatkan peningkatan dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 21 peratus kepada 63,489 unit kenderaan pada Mac 2026 berbanding bulan sebelumnya.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan walaupun jumlah itu agak rendah, ia secara amnya masih selari dengan purata lima tahun kebelakangan ini iaitu sekitar 72,000 unit.
“TIV yang sederhana ini disebabkan oleh cuti perayaan Hari Raya (termasuk cuti umum tambahan pada 20 Mac, 2026) dan penutupan sementara kilang sepanjang tempoh perayaan itu,” menurut MAA dalam satu kenyataan.
Dalam hal ini, pengeluaran pada Mac 2026 susut 17 peratus kepada 48,129 unit daripada 58,063 unit pada Mac 2025.
Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, jualan menurun tiga peratus kepada 182,113 unit daripada 188,432 unit bagi tempoh tiga bulan yang sama tahun lepas.
Pengeluaran pula jatuh 10 peratus kepada 159,367 unit daripada 177,603 unit pada suku yang sama tahun 2025.
Mengenai tinjauan pada bulan ini, MAA memaklumkan bahawa "jualan dijangka mengukuh."
-- BERNAMA