SUKAN

Penangguhan SUKMA 2026: KBS Dapatkan Pandangan Kerajaan Negeri Selangor

20/04/2026 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mendapatkan pandangan Kerajaan Negeri Selangor susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kewajaran menangguhkan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di negeri itu.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata langkah itu bagi menjunjung titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-15 hari ini.

“Ini merupakan amanat Tuanku Sultan Selangor atas keprihatinan baginda terhadap krisis tenaga global yang sedang berlaku dan kesannya terhadap ekonomi negara, di samping mengambil kira keperluan untuk menunggu Stadium Shah Alam siap sepenuhnya. 

“Sehubungan itu, saya akan mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 akan diadakan bagi membincangkan perkara itu secara terperinci yang dianggotai oleh semua negeri, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah penganjuran SUKMA Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos.

Kerajaan Negeri Selangor hari ini turut memaklumkan bakal mempertimbangkan pandangan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung titah Sultan Sharafuddin itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547182