DUNIA

Lagarde Hurai Kesan Inflasi Akibat Perang Iran Di Mesyuarat IMF

18/04/2026 07:36 PM

WASHINGTON, 18 April (Bernama-dpa) -- Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde memberi amaran kepada peserta persidangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Jumaat mengenai risiko inflasi yang berpunca daripada perang Asia Barat, lapor agensi berita Jerman dpa.

Kenyataan beliau dibuat sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi mengumumkan dalam kenyataan berasingan bahawa Iran telah bersetuju untuk menamatkan sekatan di Selat Hormuz, walaupun Trump menegaskan sekatan tentera laut AS terhadap kapal-kapal Iran akan kekal.

Berita itu mencetuskan penurunan mendadak harga minyak, namun masih belum jelas di mana paras harga itu akan stabil atau berapa lama pembukaan semula selat berkenaan akan bertahan.

Komen Presiden ECB itu dibuat sejurus sebelum keputusan kadar faedah bank berkenaan yang dijadualkan pada 30 April ini.

Beliau berkata peperangan itu akan memberi impak jangka pendek yang ketara terhadap inflasi melalui harga tenaga yang lebih tinggi, namun kesan jangka sederhana bergantung kepada intensiti dan tempoh konflik berkenaan.

"Peperangan di Timur Tengah telah menjadikan prospek ekonomi jauh lebih tidak menentu, sekali gus mewujudkan risiko kenaikan inflasi dan risiko penurunan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Lagarde berkata ECB, yang akan menentukan kadar faedah utama sekali lagi pada 30 April, tidak memberikan komitmen awal terhadap sebarang hala tuju kadar faedah yang khusus.

Kejutan harga minyak yang dikaitkan dengan perang Iran telah melonjakkan inflasi di zon euro dengan ketara. Pada Mac, harga pengguna meningkat 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan pejabat statistik Eurostat baru-baru ini.

Ini bermakna inflasi di kawasan mata wang berkenaan berada pada tahap tertinggi sejak Julai 2024 dan sasaran inflasi ECB telah dilampaui dengan jelas bagi tempoh jangka pendek. ECB menyasarkan kadar inflasi sebanyak dua peratus bagi jangka sederhana. Pada Februari, kadar inflasi berada pada tahap 1.9 peratus.

Di pasaran kewangan, jangkaan meningkat bahawa ECB akan menaikkan kadar faedah utama sepanjang tahun ini. Kadar berkenaan kekal tidak berubah pada dua peratus sebelum ini.

Lagarde menegaskan bahawa ECB bersedia untuk bertindak jika perlu.

--BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546441