Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif dan Amiril Muttaqien Meketar
PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus mengutamakan usaha melahirkan pemimpin berkualiti dalam kalangan belia bagi memperkukuh pembangunan generasi pelapis negara.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata bagi merealisasikan matlamat itu, KBS mempergiat pelbagai inisiatif strategik yang memberikan pendedahan awal kepada golongan berkenaan dalam aspek kepimpinan, tadbir urus dan kenegaraan.
Beliau berkata antara program utama ialah Felo Perdana yang membuka ruang kepada golongan muda memahami proses pentadbiran negara selain membina kefahaman terhadap sistem kenegaraan secara lebih menyeluruh.
Selain itu, beliau berkata KBS memperkukuh program Rakan Muda sebagai platform pembangunan sahsiah dan jati diri belia, selain merancang program merentasi kementerian yang lebih menyeluruh dan selari dengan keperluan semasa.
“Usaha ini penting bagi memastikan kita bukan sahaja melahirkan pemimpin, tetapi pemimpin yang benar-benar bersedia, berwibawa dan berintegriti,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Dr Mohammed Taufiq berkata agenda pembangunan kepimpinan belia itu juga selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat lebih ramai anak muda tampil bersedia memimpin pada pelbagai peringkat.
Beliau berkata usaha melahirkan lebih ramai pemimpin berkualiti akan memberikan nilai tambah besar kepada negara, bukan sahaja dalam sektor pentadbiran, malah merangkumi pelbagai bidang profesional.
“Pemimpin terbaik lahir daripada individu yang cemerlang dalam bidang masing-masing. Yang penting ialah kita mahu anak muda yang berkualiti, mempunyai sahsiah, jati diri dan semangat kenegaraan yang tinggi,” katanya.
Mengulas aspek penilaian keberkesanan program, Dr Mohammed Taufiq berkata KBS turut dibantu oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) yang menjalankan kajian secara menyeluruh terhadap setiap inisiatif yang dilaksanakan.
Beliau berkata dapatan kajian itu membolehkan kementerian merangka program yang lebih bersasar mengikut kumpulan umur serta keperluan semasa belia.
“Pendekatan berasaskan data ini penting bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan benar-benar memberikan impak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama rentas kementerian turut diperkukuh termasuk membabitkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi memperluas capaian program.
Beliau berkata menerusi kerjasama rentas kementerian itu, program Rakan Muda kini diperluas ke sekolah, selain pelaksanaan Kelab Rakan Muda di Institusi Pengajian Tinggi dan inisiatif Rakan Niaga yang menyasarkan belia dalam sektor pekerjaan.
-- BERNAMA