JENAYAH & MAHKAMAH

Tahanan Warga Pakistan Lari Dari Penjara Sungai Buloh Ditahan Semula

19/04/2026 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Seorang tahanan warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lepas berjaya ditahan polis semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dalam kenyataan berkata lelaki terbabit ditahan di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Selangor pada 5 petang. 

Beliau merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga lelaki itu berjaya ditangkap semula bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.

Dalam kejadian pada 9 April lepas, lelaki dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, itu meloloskan diri daripada kawalan polis di Padang Kawad Penjara Sungai Buloh kira-kira 6 petang selepas menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.

Lelaki itu ditahan atas kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang disiasat mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 (d) dan (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata lelaki Pakistan itu ditahan hasil risikan selama enam hari oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama maklumat perisikan Kedutaan Pakistan.

Beliau berkata lelaki terbabit ditahan oleh pasukan operasi selepas cuba melarikan diri apabila gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Siasatan awal seterusnya mendapati lelaki terbabit mengaku melarikan diri ketika turun daripada trak polis (pada 9 April lepas) dan sepanjang tempoh tujuh hari meloloskan diri, suspek mengaku bersembunyi di dalam hutan di sekitar kawasan tapak pembinaan pada waktu siang.

“Lelaki terbabit turut menyelinap masuk ke dalam tapak pembinaan pada waktu malam untuk berlindung dan bermalam berikutan risiko keselamatan dan ancaman binatang buas selain memakai pakaian yang dicuri daripada kawasan pembinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zakaria, proses temu bual dan pengecaman oleh wakil Kedutaan Pakistan mengesahkan lelaki terbabit adalah warganegara Pakistan yang meloloskan diri daripada tahanan polis pada 9 April lepas.

Beliau berkata hasil semakan mendapati lelaki terbabit tiba di negara ini pada 11 Jan lepas melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberi kemudahan Pas Lawatan Sosial selama 30 hari.

Zakaria berkata lelaki terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546752