GEORGE TOWN, 20 April (Bernama) -- Lelaki kurang siuman yang berjalan dalam keadaan bogel di kawasan Lebuh Bukit Jambul di sini pada Khamis lepas, kini dirawat di Wad Psikiatri Hospital Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintenden Lee Swee Sake dalam kenyataan hari ini berkata lelaki tempatan berusia 44 tahun itu berasal dari Batu Kurau, Perak dan usaha mengesan waris sedang dijalankan.
“Polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 10.40 pagi dan berjaya menahan lelaki itu di persimpangan lampu isyarat di situ dengan kerjasama petugas ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia,” katanya.
Terdahulu, beberapa keping gambar memaparkan seorang lelaki berjalan dalam keadaan bogel tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.
-- BERNAMA