AM

Tabung Haji Sedia Terima 31,600 Jemaah Malaysia Di Madinah

19/04/2026 05:18 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MADINAH, 19 April (Bernama) -- Pasukan Petugas Tabung Haji (TH) Madinah telah bersiap sedia menyambut ketibaan kesemua 31,600 jemaah Malaysia di sini untuk mengerjakan ibadah haji bagi 1447H/2026M.

Naib Konsul Haji Malaysia merangkap Pengarah Operasi Madinah Affandi Abdullah berkata TH menempatkan petugas di setiap zon, melibatkan petugas kewangan, kaunseling, kesihatan dan khidmat pelanggan.

"Sebanyak 75 petugas yang membabitkan 40 petugas kebajikan dan 35 petugas perubatan telah tiba awal di Madinah pada 12 April lepas bagi memastikan kelancaran pergerakan jemaah kekal efisien," katanya di sini pada Ahad.

Bagi musim haji kali ini, beliau berkata TH menyediakan tiga bangunan penginapan untuk jemaah Malaysia di Madinah, iaitu Emaar Royal Hotel Madinah, Anwar Al Madinah Movenpick, dan Hotel Emaar Elite.

"Hotel Emaar Elite merupakan bangunan baharu yang terletak hanya kira-kira 150 meter dari Masjid Nabawi yang akan menempatkan lebih 6,800 jemaah tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Affandi berkata Ibu Pejabat TH Madinah kini beroperasi di lokasi baharu di Hotel Zaha Taiba.  

"Kedudukan bangunan ini yang hampir dengan Masjid Nabawi, serta dilengkapi dengan kemudahan moden termasuk dapur dan restoran yang lebih selesa, dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan operasi.

"Ibu pejabat TH ini menempatkan pelbagai unit penting seperti Pejabat Pengarah Operasi Madinah, Pejabat Operasi Perubatan, Unit Pentadbiran, Bilik Maklumat Operasi, Unit Alokasi, Unit Pengendalian, Unit Kewangan serta Unit Pengelola Jemaah Haji (PJH)," katanya.

Affandi berkata jumlah kekuatan petugas haji di Madinah pada tahun ini adalah sebanyak 152 orang daripada keseluruhan 564 petugas bagi musim ini.

Semalam, 925 jemaah daripada tiga kumpulan pertama jemaah haji selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah, manakala penerbangan terakhir adalah pada 20 Mei dengan hari wukuf, iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada Selasa, 26 Mei ini.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546689