DUNIA

Lebih 200 Firma Jepun Bayar Tebusan Serangan Ransomware, 60 Peratus Gagal Pulihkan Data

20/04/2026 06:30 PM

TOKYO, 20 April (Bernama-Kyodo) -- Sekurang-kurangnya 222 syarikat Jepun pernah membuat pembayaran kepada penyerang ransomware, namun kira-kira 60 peratus daripada mereka masih gagal mendapatkan semula data mereka, menurut laporan Kyodo News yang memetik satu tinjauan terkini.

Daripada 1,107 firma yang memberi maklum balas kepada tinjauan pada Januari oleh Institut Promosi Ekonomi Digital dan Komuniti Jepun, sebanyak 507 melaporkan pernah menjadi mangsa serangan ransomware, apabila penggodam menyekat akses kepada data dan menuntut bayaran untuk memulihkannya.

Tinjauan turut mendedahkan, daripada syarikat yang membuat pembayaran kepada penyerang, 83 berjaya memulihkan sistem dan data mereka manakala 139 gagal. Sebaliknya, 141 firma melaporkan yang mereka berjaya memulihkan sistem dan data tanpa membuat sebarang bayaran walaupun diserang ransomware.

Pakar menyatakan yang wang tebusan tidak sepatutnya dibayar kerana ia membiayai organisasi jenayah.

Institut itu menegaskan yang hasil tinjauan ini menunjukkan realiti yang “membayar wang tebusan tidak menjamin pemulihan data.”

Kira-kira separuh daripada syarikat yang mengalami serangan ransomware melaporkan kerugian kewangan mereka, termasuk bayaran tebusan dan kos pemulihan sistem, berada dalam lingkungan 1 juta yen (US$6,300) hingga kurang daripada 50 juta yen.

Sementara itu, 16 peratus melaporkan kerosakan yang sangat kecil atau tiada kerugian, manakala 4.3 peratus firma mengalami kerugian sebanyak 1 bilion yen atau lebih.

-- BERNAMA-KYODO

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547149