GUA MUSANG, 17 April (Bernama) -- Ratusan ikan ditemukan mati di Sungai Ketil, Taman Rimba di sini hari ini sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai pencemaran di sungai berkenaan.
Kejadian berkenaan disedari seorang penduduk sekitar 7.45 pagi tadi ketika turun ke tebing sungai untuk memancing.
Muhammad Che Mahmood, 29, berkata pada masa sama terdapat beberapa spesies ikan seperti baung, sebarau, tengas dan kenerak dilihat timbul di permukaan dipercayai akibat kekurangan oksigen.
“Keadaan ini cukup menyedihkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Muhammad Afif Sukhairi, 28, berkata kejadian itu amat mengecewakan kerana Sungai Ketil merupakan lokasi tumpuan untuk beriadah, namun hari ini suasana bertukar sepi berikutan keadaan air yang keruh serta kehadiran bangkai ikan.
“Saya bimbang pencemaran ini boleh menjejaskan kesihatan pengunjung,” katanya.
Ketua Jajahan Gua Musang Mohd Roshdi Ismail berkata pihaknya mengambil maklum kejadian berkenaan yang telah dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Perikanan negeri untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA