AM

Tangki Hidraulik Mesin Pengikat Besi Meletup, Empat Pekerja Cedera Di Gebeng

16/04/2026 09:30 PM

KUANTAN, 16 April (Bernama) – Empat pekerja sebuah kilang besi cedera selepas tangki hidraulik mesin pengikat besi meletup di kawasan perindustrian Gebeng, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata kejadian kira-kira 9.30 pagi itu membabitkan seorang warga tempatan dan tiga warga asing berusia antara 29 hingga 49 tahun.

“Siasatan awal di lokasi mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada letupan peralatan industri, iaitu tangki hidraulik mesin pengikat besi di dalam premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata seorang mangsa dilaporkan cedera parah, manakala tiga lagi mengalami kecederaan ringan. Semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan ambulans syarikat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, katanya pihak polis kini bekerjasama dengan pihak berkaitan, termasuk pengurusan kilang serta agensi keselamatan dan kesihatan pekerjaan, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545804