JOHOR BAHRU, 15 April (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Muar menahan tiga lelaki tempatan serta merampas 7,000 karton rokok keretek tidak berkastam dalam Ops Taring Gelora di perairan Kuala Sungai Muar, semalam.
Komander PPM Wilayah Dua Johor ACP Noor Azman Jamal berkata sebuah bot nelayan bersama enjin jenama Fuso 120 turut dirampas, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.28 juta.
Beliau berkata bot ronda RH30 yang menjalankan rondaan operasi mengesan sebuah bot nelayan dinaiki individu berusia antara 23 hingga 62 tahun pada 1 pagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan membawa kepada penemuan beberapa kotak berwarna coklat yang mengandungi rokok disyaki tidak berkastam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Azman berkata pihaknya turut merampas sebuah bot, enjin serta sebuah telefon bimbit jenis iPhone 16 Pro Max.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.
-- BERNAMA