AM

Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac

16/04/2026 09:22 PM

KOTA BHARU, 16 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka dengan sejumlah 1,509 panggilan kecemasan diterima bermula Mac hingga kini susulan cuaca panas.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Kelantan dalam kenyataan hari ini memaklumkan daerah Bachok mencatatkan jumlah panggilan tertinggi sebanyak 287 kes, diikuti Kota Bharu (193 kes), Pasir Mas (192 kes) dan Ketereh (127 kes).

“Peningkatan kes seiring pengumuman Status Cuaca Panas Tahap 1 (Berjaga-jaga) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi melibatkan daerah Pasir Mas, Machang dan Kuala Krai dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

"Pada masa ini, JBPM Kelantan bersama agensi teknikal seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta agensi tindak balas termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pasukan bomba sukarela sedang giat menjalankan operasi pemadaman kebakaran terbuka di Kampung Kual, Bachok,” menurut kenyataan itu.

Operasi bersepadu itu membabitkan kawasan tanah gambut dengan anggaran keluasan sekitar 30 hektar.

JBPM memaklumkan ekoran peningkatan mendadak operasi sejak Mac, penggunaan bahan api oleh JBPM turut meningkat sebanyak RM60,000 berbanding bulan-bulan sebelumnya.

“Jumlah kos ini dijangka terus meningkat pada April selaras dengan pertambahan kes kebakaran terbuka serta kenaikan harga bahan api susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat,” menurut kenyataan itu.

JBPM memaklumkan orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan aktiviti pertanian.

"Perbuatan ini merupakan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara, serta di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545800