AM

Raja Permaisuri Agong Santuni 100 Pejuang Kanser Pada Majlis Jamuan Sambutan Aidilfitri

16/04/2026 09:34 PM

JOHOR BAHRU, 16 April (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Aidilfitri Pejuang-Pejuang Kanser di Dewan Kenanga, Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, majlis anjuran Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF) itu merupakan komitmen berterusan dalam memupuk semangat kebersamaan serta menzahirkan sokongan moral terhadap komuniti pesakit kanser di negeri ini.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan tunai dan cenderahati kepada 100 pejuang kanser,” menurut hantaran itu.

Selain meraikan pejuang kanser dalam suasana Syawal, majlis berkenaan turut menjadi platform menghimpunkan rakan strategik TLJCF bagi memperkukuh jaringan sokongan kebajikan secara lebih menyeluruh.

Suasana majlis diserikan dengan persembahan Yayasan Warisan Johor serta penampilan pemain biola, Adawiya Farikh.

Turut mencuri tumpuan ialah persembahan murid Sekolah Kebangsaan Kampung Sawah yang dipimpin jurulatih tari bebas, Mohd Nurakmal Daim yang juga bekas pesakit kanser limfoma tahap empat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545809