KANGAR, 15 April (Bernama) -- Cuaca panas yang melanda Malaysia pada tahun ini memberikan kelebihan kepada pengusaha buah mangga Harumanis di Perlis apabila situasi itu mempengaruhi hasil tuaian buah berbanding tahun lepas.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata pengusaha buah itu menyifatkan keadaan cuaca panas membantu proses penghasilan Harumanis menjadi lebih baik, termasuk meningkatkan kualiti rasanya yang lebih manis.
Pengusaha kebun Harumanis seluas kira-kira 0.64 hektar di Hutan Temin dan Hutan Lembah dekat sini, Abdul Hanan Saad, 42, berkata beliau gembira dengan hasil tuaian buah dari dua kebunnya itu yang meningkat sekali ganda berbanding musim 2025.
“Kebun Harumanis yang saya usahakan di Hutan Temin seluas kira-kira 0.32 hektar dan di Hutan Lembah seluas 0.32 hektar. Keseluruhan pokok Harumanis yang ada di dua kebun ini kira-kira 200 batang.
“Saya boleh katakan cuaca panas tahun ini menyumbang kepada hasil buah yang banyak, saya boleh anggarkan kemungkinan kira-kira enam tan (metrik) saya boleh tuai dari pertengahan Mac hingga akhir musim pada Jun nanti berbanding kira-kira tiga tan sahaja musim lepas,” katanya.
Abdul Hanan berkata kebanyakan bunga Harumanis bagi pokok di dua kebunnya itu menjadi elok dan tidak rosak disebabkan jangkitan kulat akibat kelembapan tinggi berikutan cuaca panas berbanding cuaca hujan tidak menentu awal tahun lepas yang mengganggu proses pendebungaan.
“Musim lepas, masa pendebungaan buah ini ada hujan, bunga Harumanis banyak rosak, bunga akan gugur dan kena kulat jika terkena hujan. Bagi saya, dari segi penjagaan dan pengurusan pokok ini lebih senang pada cuaca panas tahun ini,” katanya.
Malah, beliau berpandangan rasa buah berkenaan juga lebih manis dan kebanyakan pelanggan yang membeli Harumanis dari kebunnya itu turut menyatakan pendapat sama.
Abdul Hanan berkata kebun Harumanis yang diusahakannya sejak empat tahun lepas itu juga mendapat bimbingan daripada pihak Jabatan Pertanian Perlis dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha Harumanis, Zainol Abidin Ahmad, 71, berkata cuaca panas tahun ini menjadikan tanaman di kawasan seluas kira-kira enam hektar di Mata Ayer dekat sini boleh dituai lebih awal, sekitar 45 hingga 50 hari berbanding tempoh matang biasa antara 58 hingga 60 hari.
Beliau mengakui cuaca panas itu meningkatkan pengeluaran Harumanis namun pihaknya berdepan cabaran dari segi pengurusan hasil buah kerana ia terlalu cepat masak di pokok sebelum sempat dipetik, sekali gus mengakibatkan buah itu gugur dan rosak.
Zainol Abidin berkata keadaan cuaca panas antara lain dapat mengurangkan serangan serangga perosak namun pemantauan tetap perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan kualiti buah terjamin.
“Kalau kita lambat pantau, buah akan luruh dan rosak. Tahun ini memang banyak berlaku disebabkan kematangan yang lebih cepat berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata terdapat kira-kira 400 pokok Harumanis diusahakannya dan hasil buah dianggarkan mencecah lebih 10,000 biji setakat ini bagi musim 2026, dan daripada jumlah itu kira-kira 5,000 biji berjaya dijual manakala kualiti buah itu pada musim ini juga lebih baik dengan rasa yang lebih manis sebagaimana dimaklumkan pelanggan.
Dalam pada itu, Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata bekalan dan jualan Harumanis di negeri itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas, didorong oleh pengeluaran yang lebih tinggi serta permintaan pasaran yang kekal kukuh.
“Setakat hari ini, pengeluaran semasa mencecah 1.36 juta biji bersamaan 610.73 tan metrik, iaitu kira-kira 61 peratus daripada jangkaan keseluruhan musim.
“Dari segi perbandingan dengan tahun lepas, kami lihat peningkatan ketara baik pada jumlah buah yang dikeluarkan manakala nilai jualan musim ini lebih memberangsangkan hasil bekalan yang lebih stabil serta saluran pemasaran yang diperkukuh,” katanya.
-- BERNAMA